SYEIKH AHMAD AL-FATHANI
Harapan Menerusi Puisi
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PENULIS masih lagi membicarakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditujukan kepada Sultan Terengganu, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Maka ia diteruskan pula mengenai puisi-puisi pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu, dan pengharapan kepada cendekiawan.
Pujian untuk Sultan Terengganu Puisi pada bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Terengganu, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini iaitu pada bait yang ke-18, 19 dan 20. Terjemahannya adalah berikut:
“Baginda adalah orang yang mulia, bahkan kemuliaan itu,
warisan daripada datuk neneknya keturunan mulia
dari dahulu sampai sekarang
Memang raja putera raja
Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan
yang tiada pernah putusnya
Keturunan Saiyidina ‘Ali
Saiyid anak Saiyid
Keturunan yang tak melahirkan,
kecuali hanya kemuliaan.”
Syarah Pada bait yang ke-18 dan 19, Sheikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda Sultan Terengganu adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, bagaimanapun salasilah yang telah ditemui masih dalam keadaan yang berbeza-beza. Yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, “...maka Tun Zainal ‘Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya.
Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu Kerabat-Kerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun- temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah...”.
Tulisan MISBAHA berbeza dengan sebuah salasilah yang diusahakan oleh Raja Haji Abdullah dan kawan-kawan, yang berasal dari Riau, diriwayatkan bahawa nama asal Sultan Terengganu yang pertama itu ialah Raja Ali, Mangku Bumi di Kerajaan Inderagiri tahun 1715 M - 1735 M digelar Zainal Abidin.
Dinyatakan pada salasilah bahawa ayahnya ialah Sultan Inderagiri yang kelima, bernama Sultan Jalaluddin Sulaiman Syah yang memerintah tahun 1658 M - 1669 M. Sultan Jalaluddin Sulaiman Syah adalah putera Sultan Jamaluddin Keramat Syah yang memerintah tahun 1599 M - 1658 M. Sultan Jamaluddin Keramat Syah putera Raja Ahmad digelar sebagai Sultan Muhammad Syah yang memerintah tahun 1557 M - 1599 M.
Dalam salasilah yang lain pula ada yang meriwayatkan sebagai berikut:
lTun Seri Lanang, iaitu Bendahara Paduka Raja Johor (1580-1615 M)
lPuteranya Tun Mat Ali, juga Bendahara Paduka Raja Johor
lPuteranya Tun Habib Abdul Majid, juga Bendahara Paduka Raja Johor (1688-1697 M)
lPuteranya Tun Zainal Abidin Paduka Raja kemudian bernama Sultan Zainal Abidin I
lSultan Terengganu yang pertama, 1725-1733 M
lPuteranya Tun Dalam, iaitu Sultan Mansur Syah I, Sultan Terengganu yang kedua, 1733-1093M
lPuteranya Sultan Zainal ‘Abidin II, Sultan Tereng-ganu yang ketiga, 1793-1808 M
lPuteranya Sultan Ahmad Syah I, Sultan Terengganu yang keempat, 1808-1830M
lPuteranya Sultan Daud, Sultan Terengganu yang keenam, yang memerintah hanya setahun sahaja, iaitu pada tahun 1831 M
lPuteranya Tengku Mahmud, Yang Dipertuan Muda Terengganu.
lPuteranya Sultan Ahmad Syah II, Sultan Terengganu yang kesepuluh, 1876 M -1881M.
lSultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu yang kesebelas, 1881 M - 1919 M.
lSultan Zainal Abidin III inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam puisi beliau itu.
Dalam salasilah di atas didapati bahawa Sultan Zainal Abidin I adalah putera Tun Habib Abdul Majid. Tun Habib Abdul Majid pula adalah putera Tun Mat ‘Ali, Bendahara Paduka Raja Johor, salasilah ini ternyata berbeza dengan satu salasilah lain yang menyebut Tun Habib Abdul Majid adalah putera Maharaja Sri Di Raja.
Maharaja Sri Di Raja pula adalah putera Saiyid Zainal Abidin atau Tun Dagang bin Saiyid Abdullah al-Aidrus. Dari salasilah inilah yang bersambung terus hingga ke atas sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Kemungkinan dari salasilah inilah Syeikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa Sultan Zainal Abidin III adalah “Keturunan Saiyidina Ali ...”, pada bait yang ke-20. Yang dimaksudkan ialah Saidina Ali bin Abi Thalib, sahabat Nabi Muhammad SAW, saudara sepupunya, anak angkatnya dan sekaligus adalah menantu Nabi Muhammad SAW.
Hasil daripada perkahwinan Saiyidina Ali dengan Saidatina Fathimah itu, maka lahirlah keturunan “Saiyid” di seluruh dunia termasuk dunia Melayu. Seterusnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, “Keturunan yang tak menzahirkan, kecuali hanya kemuliaan.”
Penghargaan kepada umat Islam dan Melayu
Bahagian seterusnya pula merupakan pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu. Puisi tersebut ternyata beliau tujukan kepada Sultan Terengganu, tetapi dalam Hadiqatul Azhar yang beliau tulis dalam bahasa Melayu adalah lebih luas lagi, iaitu ditujukan kepada Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu di seluruh dunia Melayu.
“Aku berharap,
semoga bangsa Melayu dapat maju
dengan pimpinannya
Dan dapat mencapai kemuncak peradaban
dan kesejahteraan.
Aku berharap,
semoga baginda berkenan menyebarkan ilmu,
ma‘rifah dan petunjuk
Lalu baginda menjadi kebanggaan
dan rakyat mendapat kejayaan.”
Puisi pada bait yang ke-22 di atas adalah sangat identik dengan dua pucuk suratnya kepada Sultan Zainal Abidin III, dan sepucuk kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan sewaktu Nik Mahmud itu beliau hantar belajar ke Mesir. Kandungan penting surat-surat tersebut adalah seperti berikut:
l Surat Kepada Sultan Abidin III, 13 Muharam 1323 H, “Serta dilanjutkan zaman Duli Tuanku serta zuriat Tuanku di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia kadr dan menyakiti oleh ajanib. Dan dilimpahi dengan nikmat dan rahmat, dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu.”
l Surat Kepada Sultan Zainal Abidin III, tanpa kenyataan tarikh, “Khusus minta lanjutkan umur Tuanku dan ‘iyal Tuanku Yang Maha Mulia di dalam berkekalan keridhaan Allah dan shafa’ kerajaan serta bertambah-tambah ketinggian dan luas daerah at-tamaddun bagi ummah al-Malayuwiyah dengan himmah dan tuah Tuanku yang ‘alaih. Yang mendapatkan kuat yang disuruh dengan dia di dalam ayat al-Quraniyah. Maka mendapat kita dengan demikian itu as-sa‘adah al-abadiyah.”
l Surat Kepada Nik Mahmud, lembaran 433, tanpa tarikh, “Supaya terangkat dengan demikian itu oleh nama jenis Melayu. Berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib. Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syarak.”
Sambungan seterusnya kalimat puisi pada bait yang ke-22 yang ditulis dalam bahasa Arab, dan terjemahan adalah berikut:
“Dan dapat mencapai kemuncak peradaban dan kesejahteraan”, kalimat ini pula sama tujuannya dengan kalimat beliau, “serta bertambah-tambah ketinggian dan luas dairah at-tamadun bagi ummah al-Malayuwiyah” (surat nombor 2). Dan sama tujuannya pula dengan kalimat beliau. “Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamaddun yang muafakat dengan syarak” (surat nombor 3).
“Dan yang lebih besar lagi,
aku berharap,
semoga baginda berkenan menyuruh ulama
dan cendekiawan yang memahami petunjuk
Agar mereka dapat
membukukan bahasa Melayu
Kerana aku bimbang ia akan hilang
atau dirusak oleh perubahan
yang berlaku dari masa ke masa
Begitu pula hendaklah mereka itu
mengarang Sejarah Melayu
yang meliputi segala perihal Melayu
Kalau tidak, mereka nanti akan hilang,
dalam lipatan sejarah.”
Mengenai bahasa Melayu seperti yang tertera pada bait yang ke-24 dan ke-25 di atas, terdapat sebuah tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani yang sama maksudnya, dengan puisi tersebut, iaitu: “Dan tercita-cita di dalam hati hamba, adalah setengah daripada orang yang petah-petah daripada ahli Melayu ia mentaklif pada mensabitkan lughat Melayu supaya ia terpelihara dari tahrif dan tabdil dengan sebab berlamaan masa dan dengan sebab bercampur dengan beberapa bahasa yang lain. Dan bahawa ia menterjemah kepada bahasa Melayu akan setengah-setengah daripada lughat Arab supaya mudah bagi tiap-tiap thalib oleh kehendaknya.
Huraian Sheikh Ahmad al-Fathani tentang bahasa Melayu, kata beliau, “Bermula kalimah lughat itu, ertinya: bahasa. Dan iaitu beberapa suara yang mengibarat dengan dia oleh tiap-tiap kaum daripada kehendak mereka itu.... Adapun takrif ilmu lughat, maka iaitu ilmu yang dibicarakan padanya akan tiap-tiap daripada segala lafaz yang dihantarkan daripada pihak menunjuknya atas segala maknanya dengan muthabaqah (berlapis-lapis)"
“Dan adalah ilmu lughat ini telah mengamat-amati dengan dia oleh bangsa yang besar-besar lain daripada bangsa Melayu kita. Istimewa orang Arab, maka mereka itulah terlebih terdahulu pada mentadwinkan dia dan mendhabithkan dia. Dan awal kitab yang dihantarkan pada lughat mereka itu, “Kitabul ‘Ain” bagi Khalil. Yang dialah awal mereka yang mentadwinkan ilmu ‘Arudh.
Kemudian maka menghantarlah mereka itu padanya akan beberapa banyak kitab yang besar-besar seperti Qamus dan Lisanul ‘Arab. Dan kemudian daripada demikian itu dengan masa yang lama maka meniru akan mereka itu oleh Peransis (Perancis) dan Inkeliz (Inggeris), dan lainnya daripada umat Nashara. Maka mentadwin mereka itu akan lughat mereka itu pada beberapa kutub (kitab-kitab). Dan menterjemah mereka itu akan lughat Arab kepada lughat mereka itu. Dan berbimbang mereka itu dengan mengajar dan berlajar mereka itu akan dia. Dan [mengambil] manfaat beberapa daulat mereka itu pada demikian itu akan beberapa banyak harta. Dan memuji mereka itu akan ‘ulama’ Arab pada demikian itu, dan mencerca mereka itu akan ‘ulama’ Yahudi. Berkata mereka itu, “Betapalah Yahudi yang adalah mereka itu dahulu daripada masa Masihi dengan beberapa ribu tahun tiada terlintas pada hati seseorang mereka itu bahawa mengarangkan pada mendhabitkan lughat mereka itu hingga masuk ia kepada berubah-ubah melainkan kemudian daripada ditadwinkan bahasa Arab dengan beberapa masa yang lain.” (Hadiqatul Azhar, 1321: 187-188).
Ketokohan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu sangat menyerlah apabila kita kaji dengan teliti beberapa tulisan beliau dalam Hadiqatul Azhar.
Begitu juga tulisannya dalam Al-Fatawal Fathaniyah, yang membuat perbandingan antara bahasa Arab, bahasa Kemboja dan bahasa Melayu termasuk bahasa-bahasa suku kaumnya.
Dari karya beliau Al-Fatawal Fathaniyah juga dapat kita hubungkaitkan dengan perkataan beliau, “Supaya ia terpelihara daripada tahrif (perubahan) dan tabdil (bertukar)”. Selengkapnya telah dibicarakan dalam buku Sheikh Ahmad Al-Fathani, Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1, halaman 150 - 162.
Dalam beberapa karyanya yang ditulis dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa “Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling fasih diucapkan sesudah bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu bahasa Arab”.
Dalam karyanya berjudul Tashilu Nailil Amani dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa yang digunakan oleh suku kaum yang berada di dunia Melayu.
Beliau berpendapat, “Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling ringan dan mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah itu. Kerana itulah kebanyakan orang Hijaz /Arab menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah tersebut yang berlainan bahasa dengan bahasa Melayu …”
Penghargaan kepada cendekiawan
Kemudian pada bait yang ke-26, dengan jelas Sheikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa penulisan Sejarah Melayu sama pentingnya dengan mendokumentasikan bahasa Melayu.
Pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai pendokumentasian Bahasa Melayu dan Sejarah Melayu bukan hanya untuk Sultan Zainal Abidin III saja, tetapi juga ditujukan kepada golongan cendekiawan Melayu setiap zaman. Ini berdasarkan pengertian dari bait yang berikutnya atau bait yang ke-27, 28 dan 29, iaitu:
“Wahai segala cerdik pandai !
Hidupkan sejarah bangsamu
Dengan itu, kamu
akan disebut dalam sejarah
dan namamu
akan harum sepanjang masa
Dalam menulis sejarah
hendaknya diambil perhatian !
Menampilkan kebaikan raja-raja Melayu.
supaya sebutan baik dapat dikekalkan
Dengan itu, kamu
akan menjadi bangga
dan bernilai di mata lain bangsa
Kerana kamu,
telah dipimpin oleh raja yang bijak, berilmu dan berwibawa.”
Mesej puisi di atas ada persamaannya dengan tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdapat dalam Hadiqatul Azhar, yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Oleh itu diturunkan beberapa bait sebagai contoh, seperti kata beliau, “Serta dapat pula bagi hadhrat segala raja-raja [Melayu] itu, jikalau diperbuatkan demikian itu, [akan] keredaan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya yang mulia. Dan jadilah mereka itu terladang dan ikutan bagi segala mereka yang kemudian daripada mereka itu.
Maka masuk mereka itu di dalam mereka yang diimtinan [oleh] Allah dengan mereka itu seperti firman Allah........ (surah as-Sajadah, ayat 24). Ertinya: Dan kami jadikan mereka itu segala yang menunjuk mereka itu dengan pekerjaan kami. “Dan dapat pula bagi mereka itu pahala yang amat besar ganda berganda kerana pahala tiap-tiap mereka yang dapat manfaat dengan segala perbuatan itu, dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan yang menirukan perbuatan itu, terbahagi ia dengan mereka itu selama-lamanya.”
No comments:
Post a Comment