Oleh
Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Tokoh Patani - TOK
Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam
artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani
yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.
Nama
lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan
Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali
al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863
M, di Kampung Bendang Daya, Patani.
Ayah
beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani
sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.
Syeikh
Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang
digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang
Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.
Diriwayatkan
beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah
Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua
beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar.
Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung
bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.
Kedua-dua
kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka
atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal
dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung
Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.
Beberapa
perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini,
sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam
sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang
melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok
yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita
Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat
dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya
kerana sebab-sebab tertentu.
Perang
Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Oleh
sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke
Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar
dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.
Mengenai
kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung
Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun
strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum
dapat dipastikan.
Tok
Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau
mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau
bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan
rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi
bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk
diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan
mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.
Tok
Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain
beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada
kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan
menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama
orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.
Riwayat
ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan
Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga
dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok
Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi
tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.
Sungguhpun
umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan
berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok
Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk
peluru meriam yang ada pada zaman itu.
Berkali-kali
beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis
peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya
melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi
hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.
Selepas
pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah
dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan
Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga
didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani,
cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di
Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat
saya sahihkan kepada beliau).
Ada orang
bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga
berkemampuan demikian?
Agama
Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri
di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan
dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya
perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w
ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa
tertentu.
Saya
tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan
diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak
beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan
surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.
Lailatul
Qadar
Pada hari
ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam,
tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000
bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa
orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu
malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.
Di antara
ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak
beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).
Riwayat
Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua
rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang
ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun
dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun
1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir
bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui
bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah
merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan
yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan
ini.
Selama
sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men
ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita
sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok
Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba
perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya,
dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi
tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang
dinamakan Lailatul Qadar.”
Tok
Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar
empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat
orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari
kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal
Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani
atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya
yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang
digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga
bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok.
Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang
lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di
Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.
Kisah
anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu
Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya
nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum
mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan
pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya
ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai
ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan
lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang
berbeza-beza pula.
assalamualaikum tuan. maaf bertanya. kalau boleh saya tahu,penulisan ini dirujuk dari mana? apa-apa buku,artikel atau kajian?
ReplyDelete