Abdul Qadir Tuan Minal ulama dan ayah seorang
pejuang
Oleh Wan Mohd.
Shaghir Abdullah
Tokoh Patani - SYEIKH Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal)
termasuk salah seorang ulama yang diminati ramai umat Islam di dunia Melayu.
Ada e-mel yang saya terima meminta saya menulis tentang beliau.
Sebenarnya latar belakang ulama ini telah dimuatkan dalam
halaman Agama Utusan Malaysia pada 18 Oktober 2004. Ulama yang telah ditulis
mengenai dirinya tidak perlu ditulis ulang. Namun yang masih perlu disambung
adalah mengenai keturunannya yang menjadi ulama.
Lima anak laki-laki Tuan Minal al-Fathani tercatat dalam
sejarah menjadi ulama belaka. Salah seorang antara mereka ialah Syeikh Abdul
Qadir bin Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir
al-Fathani ialah seorang ulama. Beberapa anak dan keturunan beliau pun ramai
yang menjadi ulama.
Salah seorang antara anak beliau yang menjadi ulama dan sangat
besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani ialah Haji Sulong al-Fathani.
Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Patani
yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh
masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani. Daripada keabadian sejarah
inilah dijadikan keterangan judul artikel ini iaitu Abdul Qadir Tuan Minal:
Ulama dan Ayah Seorang Pejuang.
Adik-beradik Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani
semuanya sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri sama
ada di Pondok Patani mahupun di pondok Sungai Dua, Seberang Perai.
Mereka ialah Haji Daud, Haji Abdul Qadir (yang sedang
diriwayatkan), Haji Muhammad Soleh, Haji Umar, Haji Hasan dan Hajah Fatmah.
Antara mereka yang paling terkenal ialah Haji Muhammad Soleh
al-Fathani yang menghasilkan sebuah kitab tentang tajwid judul Sirajul Qari
yang tersebar di seluruh dunia Melayu. Haji Muhammad Soleh al-Fathani wafat di
Mekah pada pagi hari Rabu, pukul 11 pagi, 15 Zulhijjah 1308 H/1890 M. Tetapi
pada cetakan 1331 H/1912 M oleh percetakan yang sama, dinyatakan bahawa
pengarangnya wafat pada tahun 1309 H/1891 M.
Syeikh Haji Muhammad Soleh al-Fathani juga menggubah untaian
syair bercorak sastera klasik gurindam dalam Kasyful Litsam karya ayahnya, Tuan
Minal.
Haji Umar bin Tuan Minal menghasilkan beberapa karya,
antaranya Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad.
Demikian juga saudaranya, Haji Hasan bin Tuan Minal al-Fathani
yang menghasilkan penulisan berjudul Pungutan Kanak-Kanak. Haji Hasan mendapat
dua anak, yang menjadi ulama bernama Haji Muhammad, dan yang seorang lagi
bernama Abdur Rahman. Haji Abdur Rahman ini ialah ayah kepada Ustaz Uthman Fauzi
yang mendapat pendidikan di Universiti Azhar, Mesir.
Anak perempuan Tuan Minal al-Fathani juga menurunkan beberapa
orang ulama. Hajah Fatmah binti Tuan Minal al-Fathani berkahwin dengan Tuan
Guru Haji Abdur Rasyid Bandar Patani. Mereka mendapat anak bernama Ya’qub dan
Hajah Khadijah. Khadijah (cucu Tuan Minal al-Fathani) kahwin dengan Tuan Guru
Haji Abdul Aziz yang merupakan murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Abdul Aziz
membuka pondok pengajian. Daripada perkahwinan itu mereka memperoleh anak
bernama Haji Abdul Wahhab. Haji Abdul Wahhab bin Tuan Guru Abdul Aziz pernah
menjadi Ketua Majlis Agama Islam Patani. Selain itu Haji Abdul Wahhab juga
memimpin sebuah pondok pengajian di tempatnya.
PERKAHWINAN DI MUAR
Menurut riwayat, Sultan Abu Bakar dari Johor pada tahun 1296
H/1879 M mulai berkenalan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani di Istanbul, Turki.
Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani pernah datang ke Johor menziarahi beberapa
orang muridnya. Salah seorang yang ikut dalam rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani
ke Johor ialah muridnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Di Muar,
rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ditempatkan di rumah muridnya yang merupakan
antara orang yang kaya di Muar pada zaman itu.
Anak orang kaya Muar itu yang bernama Shafiyah dikahwinkan
dengan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Shafiyah kemudian lebih
dikenali dengan nama Mik Muar saja di Patani. Perkahwinan itu memperoleh tujuh
orang anak. Haji Sulong ibunya bukan Mik Muar tetapi adalah daripada isteri
Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang berasal dari Kelantan.
Setelah Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani kahwin
dengan Mik Muar, beliau tinggal di Muar selama beberapa tahun dan sempat
mengajar berjenis-jenis kitab di Muar dan tempat-tempat lain di Johor. Daripada
perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Mik Muar,
tersebarlah ramai keturunannya di Patani dan Kelantan. Namun mereka terputus
maklumat kekeluargaan dengan keluarga Mik Muar yang berada di Muar.
Cukup sukar bagi saya menjejaki kewarisan keluarga tersebut
yang berada di Muar kerana orang kaya Muar (ayah Mik Muar) yang dimaksudkan
nama beliau tidak diketahui oleh keturunannya yang berada di Patani. Yang
mereka ceritakan hanya rumahnya di seberang sungai Muar merupakan rumah yang
paling besar di Muar, berpagar tinggi dan mempunyai pintu gerbang yang bertanda
anak kunci besar di atas pintu gerbang itu.
Rumah tersebut kemungkinan sudah tiada lagi kerana Syeikh
Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani berkahwin di Muar sekitar 80 atau 90
tahun lalu. Melalui artikel ini saya minta bantuan siapa saja yang mengetahui
tentang kewarisan ini supaya menghubungi saya dengan tujuan menghubungkan
kembali silaturahim yang telah terputus dan sekali gus dapat menyelesaikan
banyak masalah selain memberikan penulisan sejarah yang lebih jelas.
Menurut riwayat, Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani
telah berkahwin beberapa kali. Yang dapat dipastikan menjadi ulama ialah Haji
Sulong dan Haji Abdur Rahim. Perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal
al-Fathani dengan Shafiyah (Mik Muar) memperoleh tujuh anak iaitu Zainab,
Maryam, Abdullah, Muhammad Nur, Khadijah, Mahmud dan Fatimah. Riwayat Haji
Sulong akan saya bicarakan dalam artikel tersendiri menerusi tulisan lain dalam
halaman Agama Utusan Malaysia, tetapi kerana terdapat sedikit kemusykilan nama
beliau maka di sini dirasakan perlu saya memberi sedikit keterangan.
Karya-karya Haji Sulong semuanya menggunakan nama Haji
Muhammad Sulum bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani. Dalam penelitian saya
dan selepas berbahas dengan beberapa ahli keluarga ini, antaranya Haji Muhammad
Amin bin Haji Sulong, Hajah Nik Wan Nafisah isteri Abdullah bin Syeikh Abdul
Qadir bin Tuan Minal al-Fathani, bahawa memang tidak terdapat anak Syeikh
Zainal Abidin (Tuan Minal) al-Fathani bernama Muhammad.
Kami berkesimpulan bahawa munculnya nama ‘Muhammad’ yang
dikatakan ayah kepada Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani hingga kini
belum diketahui sebab-sebabnya. Kemungkinan ia memang sengaja ditulis oleh Haji
Sulong seperti demikian kerana dirujuk kepada Muhammad ayah Tuan Minal sendiri.
Haji Sulong ketika remaja selalu mengikut ayahnya Syeikh Abdul
Qadir bin Tuan Minal al-Fathani belajar dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kesan
kewibawaan dan kepimpinan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat dinafikan sebati
dalam diri Haji Sulong. Dapat disimpulkan bahawa Haji Sulong ialah kader
politik tempaan Syeikh Ahmad al-Fathani walaupun Haji Sulong ketika itu masih
muda.
Haji Sulong ialah kader politik termuda Syeikh Ahmad al-Fathani;
yang agak tua sedikit ialah Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang kemudian
setelah pulang ke Kelantan dikenali sebagai Datuk Perdana Menteri Paduka Raja
Kelantan.
Haji Sulong ialah seorang ulama besar Patani pada zamannya.
Beliau merupakan pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman moden Pada zaman
Perang Dunia Kedua. Pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan,
yang Haji Sulong dilantik sebagai ketuanya, dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam
asy-Syar'iyah.
Mengenai kisah keulamaan dan ketokohan Haji Sulong yang hilang
tanpa diketahui di mana kuburnya itu akan dibicarakan dalam satu siri
tersendiri yang lebih lengkap.
Saya mula berkenalan dengan Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong
sejak tahun 1970. Banyak perkara yang dibicarakan terutama tentang sejarah
ulama.
Beberapa tahun sebelum Haji Muhammad Amin meninggal dunia,
selama dua hari dua malam kami sama-sama berada di rumah Abdullah Syam di Kota
Bharu, Kelantan. Abdullah Syam juga ialah salah seorang cucu Syeikh Abdul Qadir
Tuan Minal al-Fathani daripada isterinya Mik Muar.
Daripada Haji Muhammad Amin, saya memperoleh riwayat yang
lengkap tentang Haji Abdur Rahim bin Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani.
Menurut Haji Muhammad Amin, Haji Abdur Rahim ialah seorang ulama besar yang sukar
kita bandingkan pencapaian keilmuannya dengan Haji Sulong. Haji Abdur Rahim
pernah menjadi Penolong Kadi di Pulau Pinang, pernah mengajar di Pulau Dua
dalam Burma (sekarang Myanmar) dan pernah membuka pondok pengajian di Phuket,
Thailand. Beliau juga pernah mengajar di Pasir Mas, Kelantan dan mengajar di
Kampung Sirih Jabat, Patani.
Haji Abdur Rahim al-Fathani mendapat pendidikan daripada
abangnya Haji Sulong dan selanjutnya belajar di Mekah. Berbeza dengan Haji
Sulong yang sempat meninggalkan beberapa karya, Haji Abdur Rahim tidak
diketahui sama ada beliau meninggalkan karya atau tidak.
Anak Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang
perempuan daripada isterinya Shafiyah (Mik Muar) ialah Hajah Zainab yang
berkahwin dengan seorang alim bernama Haji Daud yang membuka pondok pengajian
di Legor, Thailand. Saudaranya yang lain bernama Hajah Maryam. Beliau ialah
seorang ahli dalam bacaan al-Quran dan mengajar al-Quran termasuk hukum-hukum
tajwid.
Anak beliau yang laki-laki pula ialah Abdullah. Beliau bukan
seorang ulama tetapi menjadi Blat (Ketua Pemerintahan) di Daerah Penarik. Blat
Abdullah berkahwin dengan Hajah Wan Nafisah bin Qadhi Haji Wan Ismail Jambu
al-Fathani. Sama ada Blat Abdullah mahupun isterinya, Hajah Wan Nafisah
(saudara sepupu saya), yang saya mula mengenali mereka pada tahun 1970, saya
banyak mendengar pelbagai kisah mengenai keluarga besar yang diriwayatkan ini.
Walaupun Blat Abdullah ialah adik-beradik seayah dengan Haji
Sulong, beliau tidak bercerita banyak tentang abangnya itu, kemungkinan berasa
takut dengan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan Thailand. Ia jauh berbeza
dengan Haji Muhammad Amin, anak Haji Sulong sendiri. Haji Muhammad Amin tidak
pernah berasa takut kepada siapa pun ketika menceritakan tentang peristiwa
ayahnya Haji Sulong yang hilang secara misteri itu.
Haji Muhammad Amin berhasil menerbitkan wasiat terakhir Haji
Sulong dalam sebuah karya yang diberi judul Gugusan Cahaya Keselamatan yang
selesai ditulis semasa dalam penjara di Legor pada 3 Zulkaedah 1368 H/28 Ogos
1949 M. Karya ini sangat penting bagi bangsa Melayu-Patani. Cetakan pertama
diterbitkan pada tahun 1377 H/1958 M.
Link berkaitan : Mengenang Ulama dan Pejuang Patani Tuan Guru Haji Sulong
No comments:
Post a Comment