SYEIKH WAN AHMAD AL FATANI : ULAMA DAN SAINTIS AGUNG BANGSA MELAYU - Darul Islam Nusantara

Wednesday, March 13, 2019

SYEIKH WAN AHMAD AL FATANI : ULAMA DAN SAINTIS AGUNG BANGSA MELAYU


SYEIKH WAN AHMAD AL FATANI : ULAMA DAN SAINTIS AGUNG BANGSA MELAYU
Darul Isalam Nusantara - Orang Melayu sesungguhnya sejak daripada dahulu kala lagi sehinggalah ke hari ini , tidak pernah lokek dengan kelahiran banyak tokoh yang hebat mengukir dan menempa nama dalam helaian sejarah. Salah seorang daripadanya ialah Sheikh Wan Ahmad Al-Fattani yang secara peribadi, saya menobatkan beliau sebagai bapa intelektual tamadun Melayu. Untuk pengetahuan kalian, selain daripada saintis dan ilmuwan Melayu yang hebat, beliau juga merupakan seorang ulama yang sangat disegani oleh kawan mahupun lawan.

Nama penuh beliau ialah Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani bin Wan Muhammad Zayn al-Abidin. Menurut keterangan daripada beliau sendiri dalam kitab tulisannya yang berjudul Hadiqatul Azhar wa al- Rayahin, Syeikh Wan Ahmad al Fattani dilahirkan pada malam Jumaat tarikh 5 Syaaban 1272 Hijri bersamaan tanggal 10 April 1856 Masihi. Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Kampung Jambu di sebuah negeri kecil di dalam wilayah Pattani ketika itu iatu Negeri Jerim. Ayahanda beliau juga merupakan seorang ulama bernama Syeikh Wan Muhammad Zayn al Abidin (disingkatkan menjadi Wan Muhammad Zain) yang sangat dihormati oleh masyarakat setempat ketika itu. Siapa sangka seorang bayi lelaki Syeikh Wan Muhammad Zain yang lahir ke dunia pada malam Jumaat di negeri Pattani itu akhirnya akan menjadi seorang tokoh ilmuwan Melayu yang paling terkenal dalam sejarah kerana ketokohannya dalam pelbagai bidang.
Pada usia 6 tahun lagi iatu kira kira pada tahun 1860 Masihi, Sheikh Ahmad Al-Fatani dikatakan telah berhijrah ke Makkah al Mukarammah bersama ayahandanya ketika itu, dan di sana beliau telah berjaya menghafaz Al-Quran dan mempelajari cabang-cabang ilmu yang lain seperti bahasa arab, usuluddin, tafsir hadis, fiqh, maani, bayan, arud dan banyak lagi aspek dalam agama Islam daripada banyak alim ulama yang menyebarkan ilmu mereka di sana. Kegeniusan dan ketokohan beliau dalam bidang ilmu terserlah apabila dikatakan beliau dapat mengajar ilmu tatabahasa Arab (nahu dan saraf) kepada orang yang lebih berusia daripada beliau sejak beliau berusia 12 tahun lagi.
Beliau belajar dengan banyak ulama muktabar yang terkenal pada masa itu samada dari Timur Tengah ataupun dari Alam Melayu itu sendiri. Antara ulama’ terkenal yang menjadi guru kepada beliau ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah,Sayyid al Husaini al Habsyi,Sayyid Muhammad Amin ar Ridhwan,Syeikh Mustafa al Afifi,Sayyid Umar al Shami al Baqa’i,Syeikh Muhammad bin Ismail al Fatani,Syeikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman al Fatani,Syeikh Muhammad Said al Kalantani dan ramai lagi.
Beliau berhijrah ke Baitul Maqdis dan mempelajari ilmu perubatan daripada seorang ulama bernama Syeikh Abdul Rahim al Kabuli selama dua tahun. Beliau kemudiannya mendalami ilmu agama di Universiti al Azhar,Kaherah,Mesir di mana Syeikh Wan Ahmad al Fatani merupakan anak Melayu terawal yang menjadi pelajar di universiti paling berprestij di seluruh dunia Islam ketika itu.
Dikatakan bahawa disebabkan beliau merupakan satu-satunya pelajar Melayu (Jawi) di dalam universiti tersebut pada masa itu, beliau berusaha untuk memperkenalkan alam Melayu kepada tokoh-tokoh penting universiti tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar Melayu terkemudian untuk memasuki universiti tersebut. Hingga ke hari ini, ramai pelajar Melayu dari seluruh Nusantara terutama sekali dari Malaysia datang menuntut di universiti berprestij tersebut dan ada di kalangan mereka menjadi tokoh penting bangsa Melayu mengikuti jejak langkah Syeikh Wan Ahmad al Fattani. Beliau menuntut ilmu agama di sana selama tujuh tahun sebelum akhirnya pulang semula ke Makkah.
Meskipun beliau seorang yang berbangsa Melayu, namun Sheikh Ahmad Al-Fatani mempunyai pengetahuan yang sangat tinggi dalam bidang sastera Arab. Untuk pengetahuan semua, bahasa Arab merupakan antara bahasa yang paling sukar dipelajari di dunia tetapi kejayaan Sheikh Ahmad-Al-Fattani menguasai Bahasa Arab dalam usia yang muda sangatlah dikagumi. Kepakaran beliau dalam Bahasa Arab walaupun beliau seorang ‘ajam (bukan berbangsa Arab) membolehkan beliau mendapat gelaran al-adib serta ahli sastera yang sempurna pengetahuannya. Beliau juga dikatakan telah mendapat gelaran “Sibawaih Shaghir” (maksudnya Sibawaih Kecil) kerana ketokohan beliau dalam ilmu nahu bahasa Arab seperti Sibawaih (760 – 796 Masihi), seorang tokoh ilmu tatabahasa Arab yang sangat terkenal dalam sejarah Islam.
Bahkan kehebatan Sheikh Ahmad Al-Fattani terserlah apabila dikatakan dalam lebih kurang 60 cabang ilmu agama yang wujud, Sheikh Al-Fatani telah menguasai lebih kurang 47 buah cabang ilmu daripadanya. Ini ditulis sendiri oleh salah seorang anak murid beliau yang terkenal iatu Tok Kenali dalam majalah Pengasuh, bertarikh 2 Zulkaedah 1352 H/ 15 Februari 1934 M, hari khamis, jilid ke 17, muka ke 13 dan 14.
“…al-Allamah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang terkaya daripada ujian umpama kita ini. Betapakah tiada berkata demikian itu? Kerana ilmu yang mengandungi pelajaran agama itu masih ada lagi sekarang 60 perkara ilmu. Maka al-Allamah itu dapat empat puluh tujuh ilmunya seperti mengkhabarkan kepada penulis satu orang alim yang dipercayai khabarannya kerana dia berkebetulan pada satu masa itu ada peluang. Maka al-Allamah itu mentakrifkan 47 ilmu itu satu persatunya.
“Dan setengah-setengah ia karang ilmu itu. Maka sekarang ini, ada juga setengahnya seperti syaikhuna al-Kanali, dapat dua puluh empat. Kalau pembaca-pembaca hendak tahu insya-Allah saya akan sebut. Sebab almarhum itu (Maksudnya Tok Kenali) dapat setengah ilmu al-Allamah pada bilangan itu ialah kerana banyak mukhalathah dan mengaji daripadanya. Katakanlah seperti Abu Hurairah dengan Nabi kerana banyak bercampurnya dapat riwayat hadis tujuh ribu lebih. Dan al-Allamah yang tersebut itu almarhum sentiasa puji dan sebut; menunjukkan kasihnya demikianlah al-Allamah itu telah dapat khabar bahawa murid-murid yang lebih disayang ialah almarhum…”
Berikut kami lampirkan pencapaian dan sumbangan Syeikh Wan Ahmad al Fattani dalam pelbagai bidang ilmu seperti perubatan,filiologi,sastera,sejarah,politik dan lain lain lagi.
1. Sheikh Ahmad Al-Fatani Sebagai Pakar Perubatan
Sheikh Ahmad Fattani dikatakan berguru ilmu perubatan di Baitul Maqdis daripada seorang tabib yang berasal dari Kabul, Afghanistan yang bernama Abdul Rahman al-Kabuli dan daripada hasil pembelajarannya dengan doktor itu, Sheikh Ahmad Al-Fatani dicatatkan telah menghasilkan beberapa buah karya perubatan dan antaranya ialah Taiyyib al-Ihsan fi al-Tibb al-Insan yang kini telah diterjemahkan ke tulisan rumi memakai tajuk Kitab Perubatan Melayu
Kitab Perubatan Tamadun Melayu yang ditulis oleh beliau membincangkan tentang gabungan ilmu perubatan Yunani, Melayu dan Islam. Buku beliau dimulakan dengan perbincangan tentang perubatan di kalangan masyarakat Melayu, dan kemudian mengulas mengenai amalan pseudo-sains yang berlaku dalam masyarakat Melayu, lalu kemudian beliau mengulas mengenai tabib dan doktor Melayu yang kedekut ilmu ketika itu sehingga tidak mahu mewarisi pengetahuannya pengubatan mereka sebelum membincangkan mengenai keutamaan dan kepentingan untuk bangsa Melayu menguasasi ilmu perubatan.
Buku ini juga membincangkan definisi perubatan dari sudut pandang Ibnu Sina selain daripada kebanyakan isi kandungannya banyak membincangkan tentang kaedah Galen iaitu Teori Humoral dan huraiannya tentang punca-punca penyakit. Beliau memperkenalkan beberapa konsep dalam mendiagnosis sebuah penyakit.
Perbahasan dalam buku ini turut membawa kita membincangkan tentang penjenisan penyakit mengikut bahagian tubuh, sedikit perbahasan tentang kesan sampingan ubat dan perkara-perkara asas dalam ilmu perubatan. Secara ringkas, buku Kitab Perubatan Melayu yang dikarang oleh beliau mempamerkan dengan jelas pengaruh perubatan Yunani, Arab dan juga Parsi.
2. Sheikh Ahmad Al-Fatani, Pakar Ilmu Filologi Melayu
Tidak keterlaluan kalau kita melabelkan beliau merupakan pakar filologi pertama bangsa Melayu. Untuk pengetahuan kalian, ilmu filologi ialah sejenis ilmu yang melibatkan pengkajian ke atas manuksrip-manuskrip lama demi menetapkan keasliannya, dan dalam soal manuskrip Melayu, sejarah menceritakan kepada kita bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani ialah antara orang Melayu yang diketahui mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Sebagai contoh, Sheikh Ahmad Al-Fatani dicatatkan telah mengkaji sebuah manuskrip lama Melayu bertajuk Syarah Hikam Melayu. Selepas mengkaji sumber-sumber dan keaslian manuskrip itu, dicatatkan bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani menulis seperti berikut:
“Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustatab, iaitu syarah Hikam Ibnu ‘Athaullah, dengan bahasa Melayu. Dan ditashhihkan dan muqabalahkan daripada mulzamah yang keempat hingga kepada ke 17 dengan naskhah yang dibaiki oleh Sheikh Abdul Muthallib ibnu al-Faqih al-Kalantani. Dan adalah selesai mencapkan dia pada pertengahan bulan Syawal 1309 daripada hijrah Nabi kita…”
Ianya turut dapat dilihat dalam sebuah lagi manuskrip Melayu iaitu kitab Furu’ al-Masail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di mana Sheikh Ahmad Al-Fatani dikatakan menulis seperti berikut:
“Ketahui olehmu, bahawasanya khutbah kitab ini bersalah-salahan nusukh (jamak perkataan naskhah) padanya, dan berfaraq-faraq sebagai faraq yang jauh antara segala naskhah khat dengan naskhah cap yang dicapkan pada Sungai Pura. Maka yang diitsbatkan dengan naskhah thaba’ ini seperti khutbah cap Sungai Pura kerana ia terlebih manis kalamnya dan terlebih betul kaedah nahunya…”
Selain itu, kalau tentang karya-karya terjemahan daripada Bahasa Parsi atau Arab atau dari bahasa lain, maka Sheikh Ahmad Al-Fatani akan membanding-bandingkan dua buah karya sebelum mengambil keputusan sendiri. Begitulah antara sumbangan dan pencapaian Sheikh Ahmad Al-Fatani dalam bidang filologi.
3. Bidang Sains Dan Teknologi
Bercakap tentang penglibatan Sheikh Ahmad Al-Fatani dalam bidang sains dan teknologi, yang paling dikagumi ialah tentang bagaimana kononnya bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani menemui cara pembuatan emas. Pembuatan emas yang dimaksukan ialah bukannya daripada bahan baku emas itu sendiri, atau bahan-bahan galian lainnya, tetapi dengan jalan pembancuhan pelbagai zat lain. Dalam erti kata lain Sheikh Ahmad Al-Fatani merupakan seorang pakar ahli alkimia juga. Beliau boleh mencipta emas murni 24 karat atau jenis-jenis emas yang lain dengan menggunakan pelbagai bahan yang berbeza.
Namun sayangnya dikatakan bahawa Sheikh Ahmad Al-Fatani telah membakar naskah tersebut kerana dikhuatiri naskah itu akan menjadi punca kepada pergaduhan anak-anak muridnya dan memecah-belahkan ummah. Tetapi ada pula yang yang mengatakan bahawa naskah tersebut masih ada tetapi disimpan oleh beberapa guru pondok dan pernah dilihat ketika era Perang Dunia Kedua dahulu.
Tidak cukup dengan itu, apa yang menakjubkan tentang beliau juga adalah tentang ulasan dan pandangan beliau tentang teknologi ketika itu yang saya kira beliau merupakan seorang ulama yang sangat berpandangan jauh. Antaranya ialah bagaimana ramalan beliau tentang akan wujudnya sebuah teknologi pengkomputeran yang moden padahal zaman itu, komputer masih belum ditemui. Saya petik kalam beliau untuk tatapan para pembaca semua:
“Dan mengindah-indah mereka itu akan sekalian pekerjaan dengan lekas dan banyak.”
Tambah beliau lagi bahawa teknologi akan semakin berkembang mengikut peredaran zaman pada masa hadapan dengan petikan:
“Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa”, daripada petikan tersebut bermaksud bahawa beliau menganggap teknologi akan berkembang terus dan akan ada penemuan-penemuan baru pada masa hadapan nanti.
Pemikiran hebat beliau tentang sains dan teknologi yang dicapai oleh bangsa asing dapat dirujuk dalam sebuah kitab bertajuk Hadiqah Al-Azhar.
“Maka demikian amat-amati ahli negeri orang dengan syaan (urusan) ilmu pada negeri mereka itu, hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekalian bangsa dengan: kepandaian, dan bijaksana, dan kepetahan dan banyak ilmu. Maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah (mencipta) buatkan beberapa alat yang manfaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri, di dalam masa yang sedikit.
Dan datang kepada mereka itu sekalian khabar-khabar dari sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzhah (sekelip mata, waktu yang singkat).
Dan mengindah-indah mereka itu akan sekelian perkerjaan serta dengan lekas dan banyak. Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa.
Dan dengan sebab baik percaraan dan muafakat antara mereka itu: serta besar hemah, dan halus tipu daya, dan jauhilah, dan dalam tilik mereka itu, yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran mereka itu.
“Maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru. Dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang. Dan meliputi mereka itu dengan ahwal dunia, laut, dan darat.”
Dalam manuskrip yang lain pula seperti yang dicatat dalam Mir-atul A’ajib:
“Berkata hamba, “Bagi menghampirkan segala akal. Adakah tiada engkau ketahui atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada orang kuffar sekarang ini beberapa banyak ringkahan (ciptaan) yang ‘ajib-‘ajib (pelik-pelik). Hingga mereka itu sampai kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa (udara) yang telah maklum pada mereka itu dengan belon, atau thaiyarah, atau minthad. Kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air seperti ikan. Telegraf yang tiada berdawai (radio). Alat yang dilihatkan dengannya segala bintang amat halus yang di langit (teleskop).
Alat yang memegangkan suara, bahkan Amerika sekarang ini telah sampai mereka itu dengan ikhtira’ (pencipta) mereka itu kepada menghadirkan roh orang yang tidur.
Maka ia mengkhabarkan dengan barang yang ghaib daripada ahwal orang yang telah mati. Bahkan mereka itu sampai kepada menghadirkan roh orang yang mati hingga boleh dilihatkan dia dengan mata kepala, dan bertutur (bercakap-cakap) dengan dia. Padahal ia atas rupa orang mati.
Berkata hamba, “Bahawasa yang demikian itu syaitan, ia berupa dengan rupa orang mati itu kepada mereka itu. Tetapi hasil dengan demikian itu rujuk setengah daripada Falasifah Amerika kepada membenarkan barang yang sabit di dalam agama Islam, bahawasa ada bagi roh itu hakikat. Ada bangkit di akhirat, dan lainnya daripada barang yang mengingkarkan oleh kebanyakan mereka itu agama Islam.
“Maka apabila mungkin serta telah diberi kepada kuffar umpama yang tersebut itu, adakah tiada patut dikurniakan kepada setengah-setengah ahlillah barang yang tersebut …”
Bahkan Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani pernah dicatatkan meramalkan ketinggian pencapaian industri percetakan pada masa hadapan seperti mana yang dirakamkan dalam karya agung beliau bertajuk Hadiqatul Azhar:
“Ketahuilah olehmu, bahawasanya ahli negeri yang besar-besar, yang lain daripada ahli pihak kita, sangat mengamat-amati mereka itu dengan syaan tawarikh. Dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan kanak-kanak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekali pun. Dan berusaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala orang yang gemar padanya dengan sekalian jalan dan tipu. Hingga bersungguh-sungguh mereka itu pada mengecapkan (mencetak) segala kitab yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit. Sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu niscaya belum lagi sudah satu naskhah jua.”
4. Penglibatan Beliau Dalam Bidang Politik
Sesunggunya, selain daripada seorang ulama hebat, pakar perubatan, pakar teknologi, pakar filologi beliau juga seorang ahli politik yang sangat hebat. Antara sumbangan beliau yang paling diingati ialah hubungan yang beliau jalinkan bersama dengan sultan Turki Uthmaniyah sehinggakan 1889 Masihi, Sheikh Ahmad al-Fathani dilantik pula sebagai penasihat Syarif/Raja Mekah ketika itu, sekali gus diberi kerakyatan Turki Uthmaniah pada 1889 M, demi memudahkan urusan-urusan pentadbiran dan politik.
Hubungan rapat beliau dengan sultan Uthmaniyah ketika itu membolehkan beliau berulang alik dari Tanah Melayu ke Turki pada waktu itu dalam pelbagai urusan dan antaranya yang paling dikenang ialah usaha beliau melobi kerajaan Turki Uthmaniyah menaja perjuangan umat Islam di Alam Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajah.
Ketika berada di Mekah, beliau sendiri menubuhkan sebuah organisasi yang bernama al-Jami’yah al-Fathaniyyah yang bertujuan mengumpulkan semua cendekiawan dan ahli fikir Melayu di Mekah ketika itu di bawah satu bumbung dan beliau sendiri merupakan ketua organisasi tersebut.
Tujuan organisasi itu adalah menyeru setiap anak Melayu bukan dari Tanah Melayu sahaja, tetapi dari seluruh Kepulauan Melayu termasuk Sumatera, Singapura, Kepulauan Riau Lingga dan Borneo untuk bersama-sama membebaskan Kepulauan Melayu dari belenggu penjajah.
Jamiyah Al-Fathaniyah merupakan organisasi politik pertama yang ditubuhkan oleh orang Melayu dalam sejarah jauh lebih awal daripada mana-mana organisasi politik Melayu terkenal yang pernah berdiri dalam sejarah.
Kehebatan Sheikh Ahmad Al-Fatani dalam bidang politik bukan sahaja diakui oleh anak Melayu sendiri bahkan ulama-ulama Arab yang hebat-hebat di tanah suci Mekah. Beliau dikatakan pernah dipilih oleh para ulama Mekah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian khilafiyah antara Syeikh Muhamad Abduh dengan Syeikh Yusuf al-Nabhani di Beirut.
Syeikh Wan Ahmad al Fatani meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 Hijri bersamaan tarikh 14 Januari 1908 Masihi di Mina. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sedang menunaikan ibadah haji dan jenazah beliau dikebumikan di Perkuburan Maala,Makkah al Mukarammah dan kuburnya dikatakan berdekatan dengan makam Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwalid r.a.
Sebelum mengakhiri perbahasan dan penceritaan mengenai tokoh agung bangsa Melayu ini, mari kita sama-sama menghayati dan mengaminkan doa yang ditulis dan dimuatkan oleh Syeikh Wan Ahmad al Fattani untuk bangsa Melayu dalam kitab Hadiqatul Azhar wa al-Rayahin ini ;
[Ya Allah ta’ala] Menaruh mereka itu akan cemburu pada segala hati mereka itu dan membesarkan segala himmah mereka itu, dan menghadapkan inayah mereka itu, dan menyungguh-menyungguhkan usaha mereka itu pada[nya] bahawa dijadikan segala negeri mereka itu bendahara ilmu, dan perladungan [pusat pembibitan] kepandaian, dan membukakan segala mata anak jenis mereka itu kepada memandang cemerlang, kebijakan dan handalan.
Supaya ada kelihatan kemegahan bangsa Melayu antara segala alam. Dan tertinggi nama mereka itu antara Bani Adam. Dan bertambah-tambah kelebihan ulama mereka itu atas segala ulama. Dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama. … hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekalian bangsa dengan kepandaian, dan bijaksana, dan kepetihan [?], dan banyak ilmu…
Maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan [wilayah] mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru [musuh-musuh dari luar] …
[Ya Allah] Serta dilanjutkan zaman duli-duli tuanku serta zuriat tuanku raja-raja Melayu di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia qadr dan menyakiti oleh ajanib [bangsa asing].
Dan dilimpahi dengan ni’mat dan rahmat, dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi Agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib [keunggulan atas bangsa asing]. Dan tertamadun dengan dia oleh siyasah mereka itu sebagai tamadun yang muwafakat dengan Syarak..”
Amin ya rabbal alamin
P.S : Admin RAD yang ditugaskan untuk menjadi editor artikel admin HE ini menangis ketika membuat editan pada artikel ini kerana sedih terharu dengan pengorbanan besar yang dilakukan oleh tokoh ilmuwan Melayu yang agung ini demi kehormatan dan maruah bangsanya yang ketika itu sedang dihimpit belenggu penjajahan namun masih ramai anak Melayu kini yang tidak mengenali beliau.
Malah admin sendiri mengalirkan air mata apabila membaca doa beliau untuk bangsa Melayu yang dimuatkan dalam hasil penulisan kitabnya menunjukkan keprihatinan dan sayangnya beliau kepada bangsa dan tanah Melayu. Admin RAD berharap selepas ini bangsa Melayu akan kembali menyinar dan disanjung oleh masyarakat dunia dengan lahirnya pelbagai ilmuwan dan sarjana hebat yang menguasai pelbagai bidang ilmu seperti almarhum Syeikh Wan Ahmad al Fatani ini.
Sumber Rujukan:
1. Kitab Perubatan Melayu tulisan Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani yang diperkenalkan oleh Mohd Affendi bin Mohd Shafri. Khazanah Fathaniyah dan Klasika Media. (2015)
2. Koleksi Artikel Utusan Online tentang Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani.

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad

Responsive Ads Here